Macam-macam ada di Kota Kinabalu

kk aerial viewKali pertama ke Kota Kinabalu, Sabah dan tidak tahu ke mana nak pergi? Jangan risau, kerana Kota Kinabalu mempunyai pelbagai tempat yang menarik serta masyarakat yang peramah.

Walaupun negeri Sabah mempunyai berpuluh kumpulan etnik, Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa pertuturan utama di sini.

Hotel memang banyak di bandar ini, daripada yang bertaraf lima bintang sehinggalah hotel bajet. Tetapi lokasi hotel yang paling mudah untuk pengangkutan awam ialah di sekitar Waterfront, Warisan Square dan Jalan Gaya.

Begitu juga tempat makan dan antara yang popular ialah Anjung Samudera serta gerai-gerai makan di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens (di belakang Pasar Kraftangan, Pasar Ikan Masin dan Pasar Besar), serta di terminal jeti Jesselton Point.

jesselton welcomes u gerai di jeti

Sekiranya anda bercadang untuk menginap lebih dari sehari di Kota Kinabalu, adalah lebih menjimatkan untuk menyewa kereta daripada menaiki teksi. Rata-rata pemandu teksi di Kota Kinabalu tidak menggunakan meter dan meletakan tambang sesuka hati.

Anda boleh membuat tempahan sewa kereta di terminal jeti Jesselton. Harga sewa kereta antara RM100-RM300 sehari, bergantung kepada jenis kenderaan.

bulatan ikan

Suhu sekitar Kota Kinabalu antara 32 hingga 34 darjah Centigrade. Wajah bandar ini, terutama sekitar Waterfront, tidak ubah seperti Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Kalau berada di Kota Kinabalu, memang tidak lengkap jika tidak singgah di terminal jeti Jesselton kerana inilah nama asal Kota Kinabalu.

terminal jeti 2

Pada 1956, Jesselton telah dipilih sebagai ibu negeri Borneo Utara, menggantikan Sandakan yang mengalami kemusnahan perang dunia. Jesselton diberi nama baru, Kota Kinabalu pada 30 September 1968, bersempena dengan nama Gunung Kinabalu.

Di terminal feri Jesselton terdapat banyak kedai makan, tetapi antara yang menawarkan menu yang paling pelbagai ialah restoran Nasi Padang Ibu.

Di terminal feri Jesseleton inilah pengunjung boleh mendapatkan tiket untuk melawat Taman Marin Tunku Abdul Rahman yang merangkumi lima buah pulau, iaitu Pulau Sapi, Mamutik, Manukan, Sulug dan Gaya. Perjalanan menaiki bot ke pulau-pulau ini hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam.

pulau sapi pantai mamutik

Pulau Sapi, Mamutik dan Manukan sesuai untuk aktiviti snorkeling manakala Sulug dan Gaya untuk menyelam. Di Pulau Sapi juga ada kegiatan “Sea-Walking”. Penginapan di Gaya pula adalah yang termahal dibandingkan dengan pulau-pulau yang lain.

Taman Marin Tunku Abdul Rahman dibuka setiap hari bermula 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Setelah seharian menjalankan aktiviti di pulau-pulau berkenaan, pada sebelah petang bolehlah mengunjungi Pasar Ikan Masin, Pasar Kraftangan dan Pasar Sinsuran yang terletak sepanjang jalan menghala terminal jeti Jesselton.

pasar ikan masin pasar kraftangan kk

Pada sebelah malam, di belakang pasar-pasar ini, terdapat gerai-gerai makan yang menawarkan makanan laut dengan harga yang berpatutan.

Selain itu, luangkan juga masa untuk ke Jalan Gaya yang konsepnya tak ubah seperti Petaling Street di Kuala Lumpur. Setiap pagi Ahad, jalan ini ditutup untuk trafik bagi membolehkan peniaga menjual pelbagai barangan daripada makanan kepada pokok bunga dan kraftangan.

graffiti at kk

Jika ada masa, pergilah ke Muzium Sabah yang mempamerkan koleksi pakaian, perhiasan diri dan alat muzik pelbagai kaum etnik di Sabah. Turut dipamerkan koleksi seramik dari abad ke 18.

muzium sabah

Bagi yang beragama Islam, jangan lupa singgah di masjid terapung Kota Kinabalu yang terletak di Teluk Likas. Masjid ini dibina berilhamkan Masjid Nabawi di Madinah. Dibina pada 1997, dewan sembahyang masjid ini boleh memuatkan antara 9,000 hingga 12 ribu jemaah.

masjid terapung

Tempat yang sesuai untuk dibawa seisi keluarga, terutama kanak-kanak ialah Lok Kawi Wildlife Park. Taman ini dibahagikan kepada dua, iaitu zoo dan taman botani. Jika anda memandu dari pusat bandar Kota Kinabalu, ikut jalan arah ke Papar. Bayaran masuk ke sini cuma RM10.

lok kawi wildlife park

Antara tempat yang MESTI dilawati sekiranya berada di Kota Kinabalu ialah Mari Mari Cultural Village. Ia terletak di Kionsom, Inanam dan pemanduan dari Kota Kinabalu mengambil masa antara 25 hingga 30 minit sahaja.

mari mari 4

Pengalaman di Mari Mari Cultural Village, pastinya akan sentiasa melekat di memori anda. Di sinilah anda dapat menikmati keindahan alam semulajadi, mempelajari sejarah mengenai beberapa suku-kaum di Sabah serta merasakan sendiri keunikan budaya setiap suku-kaum.

mari mari buat api mari mari joget 

Bagaimanapun waktu lawatan ke Mari Mari Cultural Village ditetapkan tiga kali sehari, iaitu pada jam 10 pagi, 2 petang dan 6 petang. Paling disyorkan supaya anda mengambil sesi 6 petang kerana anda dapat menikmati suasana malam dan mendengar deruan air sungai mengalir deras serta bunyi cengkerik memecah keheningan malam.'

mari mari rumah rungus

Ketibaan anda ke Mari Mari Cultural Village akan disambut oleh pemandu pelancong di situ yang akan memberikan taklimat ringkas mengenai aturcara lawatan. Selepas itu anda akan dibawa ke rumah kaum Dusun, diikuti Rumah Panjang Rungus, Lundayeh, Bajau dan akhir sekali Rumah Panjang Murut.

mari mari lompat

Di Rumah Panjang Murut anda akan melihat demonstrasi serta mencuba sendiri aksi melakukan Lansaran (Trampolin) sebelum di bawa pentas khas untuk menyaksikan persembahan tarian tradisional suku-suku kaum di Sabah.

Jika bercadang mahu ke Kota Kinabalu, pastikan anda membuat tempahan penerbangan lebih awal, Jika anda menaiki Air Asia, lebih awal anda tempah, lebih murah harga tiketnya. Tiket yang ditempah sekurang-kurangnya sebulan awal lebih daripada separuh harga tiket yang dibeli pada minit terakhir.

 

We have 8 guests and no members online